2.0 PENJELASAN JENIS KOMIK YANG DIKAJI
Kajian ini berfokus kepada sebuah komik pilihan dengan menggunakan model Norman Fairclough iaitu komik Ana Muslim yang mana komik tersebut merupakan komik pendidikan dan sesuai dibaca oleh semua golongan umur sama ada kanak-kanak mahupun dewasa. Komik ini telah ditulis oleh seorang penulis yang dikenali sebagai Kak Adah. Manakala pelukisnya pula dikenali sebagai Abang Kerel. Komik Ana Muslim merupakan sebuah komik berbahasa Melayu yang diterbitkan di Malaysia. Ia diterbitkan secara bulanan.
Komik ini mengkhusus dalam pembentukan akhlak dikalangan remaja muslim. Ia telah diterbitkan oleh Blue-T Publication Sdn. Bhd yang mana ia merupakan sebuah syarikat penerbitan yang berteraskan Syariah islam dan menekankan pembangunan akhlak pembaca. Pengasas syarikat buku ini merupakan sepasang suami isteri yang mempunyai kelulusan daripada University of Louisiana, Lafayette Amerika Syarikat (AS), Othman Mohamed dan Saadah Taib ( Nur Afifah, 2017). Nur Syuhada Mohd Safian merupakan seorang editor perolehan bagi komik Ana Muslim ini. Beliau mempunyai pengalaman menyunting lebih dari 50 karya.
Rajah 1 ( Editor Komik Ana Muslim)
Komik ini menerapkan unsur kemasyarakatan dan nilai-nilai murni yang ditonjolkan melalui siri dramanya iaitu Siri Ana Solehah, Siri Rajawali F.C dan Siri Satria Bulan Bintang serta topik yang menarik seperti ruangan Adab & Doa, Kisah dari Al-Quran, Tokoh Islam, Inggeris, Sains, Bahasa Arab dan banyak lagi. Komik yang berslogan membentuk peribadi mulia ini juga mengandungi bahan sokongan program j-QAF dalam konsep kartun yang ceria dan ini mampu menarik minat kanak-kanak.
Komik ini menceritakan tentang seorang gadis remaja yang bernama Ana Solehah. Ana bersama adiknya Ibrahim dan Luqman merupakan anak yatim. Demi meringankan beban yang ditanggung ibunya lantaran bapa mereka sudah tiada, mereka rela untuk tinggal di Rumah Kebajikan Darul Riayah. Di tempat itulah bermulanya episod kehidupan Ana bersama adik-adiknya.
No comments:
Post a Comment