KONSEP WACANA

Wacana merupakan suatu bahagian atau unit yang paling tinggi yang melampaui sebaris ayat yang lengkap. Oleh yang demikian, wacana dapat dijelmakan dalam pelbagai bentuk sehinggalah meliputi peristiwa bahasa. Menurut Kamus Dewan (2007),wacana membawa maksud keseluruhan tutur kata yang merupakan suatu kesatuan,ucapan, pertuturan serta percakapan. Menurut Henry Tarigan (1987) dalam buku Monograf Bahasa Melayu, takrifan wacana ialah unit atau saluran linguistik yang tertinggi, terlengkap, terbesar dari segi skalanya, supra ayat, tersusun rapi dengan koherensi dan kohesi tinggi yang berkesinambungan awal dan akhir yang nyata disampaikan secara lisan dan bertulis.

 Asmah Hj. Omar (1980) dalam Nawi Ismail, Raminah Sabran, Wahida Abdul Wahid,Mohd Sis Mohd Yatim & Zulkarnain Farihin Abdullah (2016:3), pula menyatakan bahawa wacana ialah suatu unit atau satuan bahasa yang boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat,ceraian, bab, siri atau sebagainya. Wacana boleh dianggap sebagai suatu unit ujaran yang melebihi batas ayat dan diujarkan dalam konteks tertentu.

Rumusannya, wacana ialah unit tatabahasa yang lengkap dan tertinggi serta melangkaui batas ayat yang melibatkan komunikasi pertuturan mahupun penulisan. Bukan itu sahaja, ciri - ciri wacana boleh dikatakan terdapat tujuh ciri - ciri secara umum iaitu runtutan, tautan, keadaan, interteks, struktur maklumat, tujuan dan penerimaan. 


No comments:

Post a Comment