KAJIAN ANALISIS WACANA

 3.0 PENGGUNAAN DALAM KONTEKS KOMIK ANA MUSLIM (MODEL NORMAN FAIRCLOUGH)

Pada bahagian ini, pengkaji telah menjalankan kajian dengan menganalisis data berkaitan  dengan penggunaan jenis komik yang telah dipilih. Berdasarkan kajian yang dijalankan, pengkaji telah menggunakan Model Fairclough iaitu penyebaran dan penggunaan berasaskan dimensi amalan wacana untuk menganalisis data. Berikut merupakan komik yang dipilih dan dianalisis menggunakan Model Fairclough.


3.1 PENYEBARAN

Pengkaji telah memilih komik Ana Muslim yang bertajuk ‘Sweet Ana Solehah’ oleh Blue-T Publication Sdn. Bhd. Iklan ini telah dianalisis dengan menggunakan model Fairclough. Berdasarkan komik yang dipilih, terdapat unsur amalan wacana iaitu penyebaran. Komik ini mempunyai fokus utama iaitu menyebarkan ilmu keagamaan kepada masyarakat tentang Islam dan hubungan persahabatan serta kekeluargaan. Oleh itu, komik ini bertepatan dengan Model Fairclough kerana ianya disebarkan kepada khalayak umum.

Komik Ana Muslim yang bertajuk ‘Sweet Ana Solehah’ mengisahkan persahabatan antara Ana dan sahabatnya yang hendak pergi ke pasar untuk membeli barang. Ana yang merupakan watak utama sedang mengumpul wang untuk membelikan kerongsang baharu untuk ibunya di pasar malam. Namun begitu, Ina pula merupakan sahabat kepada Ana mahu membeli dompet baharu sedangkan dompet lamanya masih terpakai. Walau demikian, wang sakunya hilang dan terpaksa menyuruh rakannya yang lain untuk pergi ke pasar terlebih dahulu. Sewaktu hendak ke pasar, Ina hampir diculik oleh lelaki jahat dan berjaya melepaskan diri kerana Ina menggigit tangan penculik tersebut. Ketika di asrama, Ina pulang dengan keadaan penat kerana melarikan diri daripada penjahat tersebut. Ina menceritakan apa yang berlaku sewaktu dalam perjalanan ke pasar. Selain itu, Ina juga telah membelikan kerongsang  baharu untuk Ana kerana Ana banyak membimbingnya  untuk menjadi lebih baik.

Komik Ana Muslim ini memberi pengajaran dengan tidak membazir untuk sesuatu yang bukanlah suatu keperluan serta keprihatinan antara sahabat. Penyampaiannya juga jelas  dan mudah difahami untuk semua masyarakat terutama sekali kanak-kanak. Tambahan pula, komik ini memberi nasihat yang bermanfaat dalam kehidupan seharian sebagai contohnya adab bersahabat dan adab membeli.

Contoh maklumat dan info yang disebarkan oleh komik tersebut kepada khalayak umum boleh dilihat dalam contoh ayat di bawah.

 

Contoh ayat:

A1 : Idah sangat baik pada Ana. Ana syukur dapat kawan macam Idah. Ana sayang Idah.

A2 : Ibu selalu pesan supaya jaga adik-adik dengan baik.

A3 : Bahaya pergi mana-mana tak ada orang teman. Di luar sana ramai orang jahat tau!

 

Berdasarkan ayat yang dipamerkan di atas, pengisian komik tersebut telah menunjukkan contoh penggunaan wacana berbentuk dialog. Dialog tersebut memberikan informasi kepada pembaca. Pada Ayat A1 menerangkan bahawa Idah bersyukur kerana mempunyai sahabat baik seperti Ana kerana sentiasa membimbingnya ke arah lebih baik. Dialog tersebut memaparkan pengajaran persahabatan antara Idah dan Ana sangat kuat. Ayat A2 pula, menjelaskan Ana sebagai seorang kakak kepada Man diingatkan oleh ibu mereka untuk menjaga adik-adiknya dengan baik. Hubungan kekeluargaan Ana dan adik-adiknya sangat akrab kerana ibu mereka telah mendidik mereka dengan didikan agama yang cukup. Seterusnya, ayat A3 pula menerangkan situasi dimana Ana berpesan kepada Man, adiknya untuk tidak pergi kemana-mana seorang diri. Ana memberitahu bahawa di luar sana sangat bahaya dan ada ramai orang jahat. Pengajaran yang dapat dilihat di sini Ana prihatin akan keselamatan adiknya jikalau berada di kawasan tanpa pengawasan orang dewasa. 

Dari segi penggunaan warna latar, tulisan dan konsep yang digunakan dapat dilihat bahawa semua masyarakat boleh faham akan isi cerita yang dipamerkan. Watak-watak yang dicipta juga bervariasi dan memainkan peranan yang berbeza-beza. Komik ini menggunakan Bahasa Melayu standard yang boleh difahami oleh pembaca. Penggunaan jenis tulisan yang sesuai dan mudah untuk dibaca. Oleh itu, warna latar, konsep, tulisan serta jalan cerita mempengaruhi minat dan menarik perhatian pembaca untuk membaca komik Ana Muslim.

3.2 PENGGUNAAN 

Anida (2016) dalam model Fairclough menjelaskan bahawa wacana dihasilkan atas sebab atau tujuan tertentu. Analisis penggunaan wacana dalam soal amalan kewacanaan adalah usaha interpretasi secara umum akan gunanya wacana berkenaan kepada khalayak atau adressee, kepada pewacana sendiri serta lingkaran kegunaan dalam kalangan mereka. Dalam hal ini, pengkaji telah memilih komik Ana Muslim sebagai bahan untuk dianalisis dari segi penggunaan dalam konteks-model Norman Fairclogh mengikut dimensi tekstual. Perkara yang difokuskan dalam kajian ini adalah dari aspek tautan. Tautan terbahagi kepada dua aspek iaitu tetenunan nahuan dan tetenunan leksikal. Menurut Sanad Md. Nasir (2002), tautan merujuk kepada keserasian hubungan antara unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesebuah wacana. Keserasiannya diteliti daripada hubungan antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat dengan sesuatu perkataan dalam wacana tersebut. Berdasarkan komik yang telah dipilih, pewacana telah menggunakan beberapa aspek tautan tetenunan nahuan dan tetenunan leksikal yang menunjukkan kesepaduan dalam pertuturan. Hal ini dapat dilihat melalui contoh ayat di bawah:

 A1 : “masa ini lah nak hilang”

 A2 : “mesti diorang dah tunggu lama”     

A3 : “lihatlah orang yang lebih rendah darimu dan janganlah melihat yang lebih atas darimu”

A1 dan A2 menunjukkan tautan dari aspek tetenunan nahuan penggunaan rujukan adalah merujuk atau menggantikan sesuatu kata atau frasa ayat sebelum atau dalam ayat yang sama. Penggunaan kata tunjuk ini dalam A1 merujuk kepada masa tersebut juga barang kepada watak dalam komik hilang. Dalam ayat kedua penggunaan perkataan diorang atau mereka yang merujuk kepada kata ganti nama diri ketiga. Kebiasaannya perkataan diorang digunakan dalam perbualan harian sama ada dalam lingkungan umur yang sama mahupun berbeza dalam konteks tidak formal. Dalam komik ini, perkataan diorang merujuk kepada kawan Idah iaitu Ana dan Ina. Bagi A3 pula memperlihatkan penggunaan tautan nahuan dari aspek kata hubung iaitu dan. Ketiga-tiga contoh ini menunjukkan bahawa komik ini menggunakan dimensi tekstual untuk menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami oleh lingkungan masyarakat dalam komik tersebut.

 

b) Komik Ana Muslim juga dapat dianalisis dari segi penggunaan dalam konteks-model Norman Fairclough mengikut dimensi amalan sosial. Hubungkait antara teks dengan masyarakat pengguna teks mahupun pembaca dilakukan bagi memperlihat faktor-faktor yang menyebabkan sesuatu wacana ini digunakan dalam masyarakat. Hal ini dapat dibuktikan melalui penceritaan dalam komik ini yang menekankan kepada golongan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak agar berbelanja secara berhemah. Selain itu, komik ini juga berpesan kepada masyarakat agar sentiasa berwaspada apabila berjumpa dengan orang yang tidak dikenali walau di mana jua kita berada. Melalui kisah yang terdapat dalam komik ini, Idah telah dipelawa oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya untuk menaiki van semasa hendak pulang ke asrama. Namun, Idah berfikir dengan waras dan bijak bertindak sebelum berlakunya sesuatu yang tidak diingini berlaku. Akhir sekali, watak-watak dalam komik ini juga menyelitkan pesanan daripada nabi Muhammad S.A.W agar sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dimiliki dan jangan sesekali meremeh-remehkannya. Jelaslah terbukti bahawa wujudnya keserasian antara teks dan pengguna teks dalam unsur dimensi sosial mampu menjadikan sesebuah wacana itu utuh dan bermaklumat. Justeru juga membolehkan pembaca untuk memanfaaatkan dan mengaplikasikan semua nilai murni dan pengajaran berdasarkan wacana yang telah ditonjolkan dalam komik tersebut.

No comments:

Post a Comment