Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Blog ini merupakan satu inisiatif oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris daripada kumpulan B kursus BML3123 Analisis Wacana Bahasa Melayu. Tujuan pembinaan blog ini adalah bagi memenuhi kehendak tugasan kursus ini. Blog ini akan menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai analisis wacana bahasa Melayu.
KONSEP WACANA
Wacana merupakan suatu bahagian atau unit yang paling tinggi yang melampaui sebaris ayat yang lengkap. Oleh yang demikian, wacana dapat dijelmakan dalam pelbagai bentuk sehinggalah meliputi peristiwa bahasa. Menurut Kamus Dewan (2007),wacana membawa maksud keseluruhan tutur kata yang merupakan suatu kesatuan,ucapan, pertuturan serta percakapan. Menurut Henry Tarigan (1987) dalam buku Monograf Bahasa Melayu, takrifan wacana ialah unit atau saluran linguistik yang tertinggi, terlengkap, terbesar dari segi skalanya, supra ayat, tersusun rapi dengan koherensi dan kohesi tinggi yang berkesinambungan awal dan akhir yang nyata disampaikan secara lisan dan bertulis.
Asmah Hj. Omar (1980) dalam Nawi Ismail, Raminah Sabran, Wahida Abdul Wahid,Mohd Sis Mohd Yatim & Zulkarnain Farihin Abdullah (2016:3), pula menyatakan bahawa wacana ialah suatu unit atau satuan bahasa yang boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat,ceraian, bab, siri atau sebagainya. Wacana boleh dianggap sebagai suatu unit ujaran yang melebihi batas ayat dan diujarkan dalam konteks tertentu.
Rumusannya, wacana ialah unit tatabahasa yang lengkap dan tertinggi serta melangkaui batas ayat yang melibatkan komunikasi pertuturan mahupun penulisan. Bukan itu sahaja, ciri - ciri wacana boleh dikatakan terdapat tujuh ciri - ciri secara umum iaitu runtutan, tautan, keadaan, interteks, struktur maklumat, tujuan dan penerimaan.
LATAR BELAKANG KAJIAN
2.0 PENJELASAN JENIS KOMIK YANG DIKAJI
Kajian ini berfokus kepada sebuah komik pilihan dengan menggunakan model Norman Fairclough iaitu komik Ana Muslim yang mana komik tersebut merupakan komik pendidikan dan sesuai dibaca oleh semua golongan umur sama ada kanak-kanak mahupun dewasa. Komik ini telah ditulis oleh seorang penulis yang dikenali sebagai Kak Adah. Manakala pelukisnya pula dikenali sebagai Abang Kerel. Komik Ana Muslim merupakan sebuah komik berbahasa Melayu yang diterbitkan di Malaysia. Ia diterbitkan secara bulanan.
Komik ini mengkhusus dalam pembentukan akhlak dikalangan remaja muslim. Ia telah diterbitkan oleh Blue-T Publication Sdn. Bhd yang mana ia merupakan sebuah syarikat penerbitan yang berteraskan Syariah islam dan menekankan pembangunan akhlak pembaca. Pengasas syarikat buku ini merupakan sepasang suami isteri yang mempunyai kelulusan daripada University of Louisiana, Lafayette Amerika Syarikat (AS), Othman Mohamed dan Saadah Taib ( Nur Afifah, 2017). Nur Syuhada Mohd Safian merupakan seorang editor perolehan bagi komik Ana Muslim ini. Beliau mempunyai pengalaman menyunting lebih dari 50 karya.
Rajah 1 ( Editor Komik Ana Muslim)
Komik ini menerapkan unsur kemasyarakatan dan nilai-nilai murni yang ditonjolkan melalui siri dramanya iaitu Siri Ana Solehah, Siri Rajawali F.C dan Siri Satria Bulan Bintang serta topik yang menarik seperti ruangan Adab & Doa, Kisah dari Al-Quran, Tokoh Islam, Inggeris, Sains, Bahasa Arab dan banyak lagi. Komik yang berslogan membentuk peribadi mulia ini juga mengandungi bahan sokongan program j-QAF dalam konsep kartun yang ceria dan ini mampu menarik minat kanak-kanak.
Komik ini menceritakan tentang seorang gadis remaja yang bernama Ana Solehah. Ana bersama adiknya Ibrahim dan Luqman merupakan anak yatim. Demi meringankan beban yang ditanggung ibunya lantaran bapa mereka sudah tiada, mereka rela untuk tinggal di Rumah Kebajikan Darul Riayah. Di tempat itulah bermulanya episod kehidupan Ana bersama adik-adiknya.
3.0 PENGGUNAAN DALAM KONTEKS KOMIK ANA MUSLIM (MODEL NORMAN FAIRCLOUGH)
Pada bahagian ini, pengkaji telah menjalankan kajian dengan menganalisis data berkaitan dengan penggunaan jenis komik yang telah dipilih. Berdasarkan kajian yang dijalankan, pengkaji telah menggunakan Model Fairclough iaitu penyebaran dan penggunaan berasaskan dimensi amalan wacana untuk menganalisis data. Berikut merupakan komik yang dipilih dan dianalisis menggunakan Model Fairclough.
3.1 PENYEBARAN
Pengkaji telah memilih komik Ana Muslim yang bertajuk ‘Sweet Ana Solehah’ oleh Blue-T Publication Sdn. Bhd. Iklan ini telah dianalisis dengan menggunakan model Fairclough. Berdasarkan komik yang dipilih, terdapat unsur amalan wacana iaitu penyebaran. Komik ini mempunyai fokus utama iaitu menyebarkan ilmu keagamaan kepada masyarakat tentang Islam dan hubungan persahabatan serta kekeluargaan. Oleh itu, komik ini bertepatan dengan Model Fairclough kerana ianya disebarkan kepada khalayak umum.
Komik Ana Muslim yang bertajuk ‘Sweet Ana Solehah’ mengisahkan persahabatan antara Ana dan sahabatnya yang hendak pergi ke pasar untuk membeli barang. Ana yang merupakan watak utama sedang mengumpul wang untuk membelikan kerongsang baharu untuk ibunya di pasar malam. Namun begitu, Ina pula merupakan sahabat kepada Ana mahu membeli dompet baharu sedangkan dompet lamanya masih terpakai. Walau demikian, wang sakunya hilang dan terpaksa menyuruh rakannya yang lain untuk pergi ke pasar terlebih dahulu. Sewaktu hendak ke pasar, Ina hampir diculik oleh lelaki jahat dan berjaya melepaskan diri kerana Ina menggigit tangan penculik tersebut. Ketika di asrama, Ina pulang dengan keadaan penat kerana melarikan diri daripada penjahat tersebut. Ina menceritakan apa yang berlaku sewaktu dalam perjalanan ke pasar. Selain itu, Ina juga telah membelikan kerongsang baharu untuk Ana kerana Ana banyak membimbingnya untuk menjadi lebih baik.
Komik Ana Muslim ini memberi pengajaran dengan tidak membazir untuk sesuatu yang bukanlah suatu keperluan serta keprihatinan antara sahabat. Penyampaiannya juga jelas dan mudah difahami untuk semua masyarakat terutama sekali kanak-kanak. Tambahan pula, komik ini memberi nasihat yang bermanfaat dalam kehidupan seharian sebagai contohnya adab bersahabat dan adab membeli.
Contoh maklumat dan info yang disebarkan oleh komik tersebut kepada khalayak umum boleh dilihat dalam contoh ayat di bawah.
Contoh ayat:
A1 : Idah sangat baik pada Ana. Ana syukur dapat kawan macam Idah. Ana sayang Idah.
A2 : Ibu selalu pesan supaya jaga adik-adik dengan baik.
A3 : Bahaya pergi mana-mana tak ada orang teman. Di luar sana ramai orang jahat tau!
Berdasarkan ayat yang dipamerkan di atas, pengisian komik tersebut telah menunjukkan contoh penggunaan wacana berbentuk dialog. Dialog tersebut memberikan informasi kepada pembaca. Pada Ayat A1 menerangkan bahawa Idah bersyukur kerana mempunyai sahabat baik seperti Ana kerana sentiasa membimbingnya ke arah lebih baik. Dialog tersebut memaparkan pengajaran persahabatan antara Idah dan Ana sangat kuat. Ayat A2 pula, menjelaskan Ana sebagai seorang kakak kepada Man diingatkan oleh ibu mereka untuk menjaga adik-adiknya dengan baik. Hubungan kekeluargaan Ana dan adik-adiknya sangat akrab kerana ibu mereka telah mendidik mereka dengan didikan agama yang cukup. Seterusnya, ayat A3 pula menerangkan situasi dimana Ana berpesan kepada Man, adiknya untuk tidak pergi kemana-mana seorang diri. Ana memberitahu bahawa di luar sana sangat bahaya dan ada ramai orang jahat. Pengajaran yang dapat dilihat di sini Ana prihatin akan keselamatan adiknya jikalau berada di kawasan tanpa pengawasan orang dewasa.
Dari segi penggunaan warna latar, tulisan dan konsep yang digunakan dapat dilihat bahawa semua masyarakat boleh faham akan isi cerita yang dipamerkan. Watak-watak yang dicipta juga bervariasi dan memainkan peranan yang berbeza-beza. Komik ini menggunakan Bahasa Melayu standard yang boleh difahami oleh pembaca. Penggunaan jenis tulisan yang sesuai dan mudah untuk dibaca. Oleh itu, warna latar, konsep, tulisan serta jalan cerita mempengaruhi minat dan menarik perhatian pembaca untuk membaca komik Ana Muslim.
3.2 PENGGUNAAN
Anida (2016) dalam model Fairclough menjelaskan bahawa wacana dihasilkan atas sebab atau tujuan tertentu. Analisis penggunaan wacana dalam soal amalan kewacanaan adalah usaha interpretasi secara umum akan gunanya wacana berkenaan kepada khalayak atau adressee, kepada pewacana sendiri serta lingkaran kegunaan dalam kalangan mereka. Dalam hal ini, pengkaji telah memilih komik Ana Muslim sebagai bahan untuk dianalisis dari segi penggunaan dalam konteks-model Norman Fairclogh mengikut dimensi tekstual. Perkara yang difokuskan dalam kajian ini adalah dari aspek tautan. Tautan terbahagi kepada dua aspek iaitu tetenunan nahuan dan tetenunan leksikal. Menurut Sanad Md. Nasir (2002), tautan merujuk kepada keserasian hubungan antara unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesebuah wacana. Keserasiannya diteliti daripada hubungan antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat dengan sesuatu perkataan dalam wacana tersebut. Berdasarkan komik yang telah dipilih, pewacana telah menggunakan beberapa aspek tautan tetenunan nahuan dan tetenunan leksikal yang menunjukkan kesepaduan dalam pertuturan. Hal ini dapat dilihat melalui contoh ayat di bawah.
A1 : “masa ini lah nak hilang”
A2 : “mesti diorang dah tunggu lama”
A3 : “lihatlah orang yang lebih rendah darimu dan janganlah melihat yang lebih atas darimu”
A1 dan A2 menunjukkan tautan dari aspek tetenunan nahuan penggunaan rujukan adalah merujuk atau menggantikan sesuatu kata atau frasa ayat sebelum atau dalam ayat yang sama. Penggunaan kata tunjuk ini dalam A1 merujuk kepada masa tersebut juga barang kepada watak dalam komik hilang. Dalam ayat kedua penggunaan perkataan diorang atau mereka yang merujuk kepada kata ganti nama diri ketiga. Kebiasaannya perkataan diorang digunakan dalam perbualan harian sama ada dalam lingkungan umur yang sama mahupun berbeza dalam konteks tidak formal. Dalam komik ini, perkataan diorang merujuk kepada kawan Idah iaitu Ana dan Ina. Bagi A3 pula memperlihatkan penggunaan tautan nahuan dari aspek kata hubung iaitu dan. Ketiga-tiga contoh ini menunjukkan bahawa komik ini menggunakan dimensi tekstual untuk menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami oleh lingkungan masyarakat dalam komik tersebut.
b) Komik Ana Muslim juga dapat dianalisis dari segi penggunaan dalam konteks-model Norman Fairclough mengikut dimensi amalan sosial. Hubungkait antara teks dengan masyarakat pengguna teks mahupun pembaca dilakukan bagi memperlihat faktor-faktor yang menyebabkan sesuatu wacana ini digunakan dalam masyarakat. Hal ini dapat dibuktikan melalui penceritaan dalam komik ini yang menekankan kepada golongan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak agar berbelanja secara berhemah. Selain itu, komik ini juga berpesan kepada masyarakat agar sentiasa berwaspada apabila berjumpa dengan orang yang tidak dikenali walau di mana jua kita berada. Melalui kisah yang terdapat dalam komik ini, Idah telah dipelawa oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya untuk menaiki van semasa hendak pulang ke asrama. Namun, Idah berfikir dengan waras dan bijak bertindak sebelum berlakunya sesuatu yang tidak diingini berlaku. Akhir sekali, watak-watak dalam komik ini juga menyelitkan pesanan daripada nabi Muhammad S.A.W agar sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dimiliki dan jangan sesekali meremeh-remehkannya. Jelaslah terbukti bahawa wujudnya keserasian antara teks dan pengguna teks dalam unsur dimensi sosial mampu menjadikan sesebuah wacana itu utuh dan bermaklumat. Justeru juga membolehkan pembaca untuk memanfaaatkan dan mengaplikasikan semua nilai murni dan pengajaran berdasarkan wacana yang telah ditonjolkan dalam komik tersebut.
Analisis wacana kritis merupakan satu pendekatan yang digunakan untuk menganalisis sesuatu teks berdasarkan aspek sosial dalam kalangan masyarakat. Menurut Ade Puspitasari, Endang Wiyanti, Ifran Nutriputra (2021) analisis wacana kritis yang dikembangkan oleh Norman Fairclough mengandungi unsur-unsur sosial didalamnya. Analisis wacana kritis adalah pendekatan yang tertarik untuk menganalisis fenomena sosial yang kompleks dan memerlukan pendekatan pelbagai kaedah (Wodak dan Meyer, 2009) dalam jurnal Zaliza Zubir & Rohizah Halim (2020). AWK menitikberatkan pemakaian bahasa yang baik dalam pertuturan yang merupakan bentuk dari aspek sosial.
Berdasarkan wacana komik yang dikaji, pewacana mengetengahkan komik mengenai keselamatan seorang kanak-kanak. Komik ini mengisahkan seorang anak yatim yang tinggal di rumah kebajikan keluar dari rumah tanpa pengetahuan orang yang lebih tua. Tindakan seperti ini akan mendatangkan kesan yang buruk terhadap seorang kanak-kanak. Hal ini kerana seorang kanak-kanak yang keluar tanpa pengawasan orang tua akan mendatangkan bahaya kepada mereka. Pendedahan melalui komik memudahkan seorang pembaca memahami perkara yang disampaikan. Hal ini dikatakan demikian kerana maklumat yang disampaikan dalam komik menggunakan gambar yang sesuai dengan maklumat yang disampaikan. Jelaslah di sini bahawa sesebuah wacana yang utuh mampu meningkatkan tahap penerimaan dalam kalangan masyarakat yang mendengar mahupun membaca. Persembahan cerita menerusi gambar yang berwarna warni, serta ayat berbentuk perbualan yang ringkas dapat menarik perhatian pembaca. Bukan itu sahaja, semua golongan masyarakat tertarik untuk membaca komik kerana jalan cerita yang mudah difahami dan mempunyai maklumat yang menarik
Komik ini menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh semua golongan termasuk golongan muda. Komik ini sesuai kepada semua peringkat umur. Setiap perkara yang dituturkan di dalam komik mempunyai maklumat yang penting kepada pembaca. Tambahan pula, komik ini menggunakan bahasa yang sopan dalam komunikasi. Dengan demikian, wacana memegang peranan penting dalam memahami dan menyampaikan pesan secara efektif dalam berbagai konteks komunikasi.
KESIMPULAN
Tuntasnya, pembinaaan sesebuah komik memerlukan pengetahuan bahasa yang tinggi bagi meningkatkan mutu penghasilan komik tersebut. Hal ini dikatakan kerana kita sedia tahu bahawa komik sering menjadi pilihan kanak-kanak mahupun dewasa. Oleh itu, kajian ini dilakukan bertujuan untuk menganalisis bentuk wacana yang terdapat dalam komik tersebut. Model Norman Fairclough ini juga mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh digunakan untuk menganalisis komik yang dipilih oleh pengkaji. Diharapkan kajian yang dilakukan ini dapat memberikan panduan dan manfaat kepada pembaca serta pengkaji yang seterusnya.
Puspitasari, E. W. (2021). Analisis Wacana Kritis Pada Berita Sosial Surat Kabar Harian Kompas Dan Implikasinya Terhadap Pembelajaran Bahasa Indonesia. Alegori, 1-11.
Halim, Z. Z. (2020). Analisis Wacana Kritis: Satu Pengenalan Umum. Journal of Communication in Scientific Inquiry , 57-64.
Hamdan (2019). Wacana Dalam Perspektif Norman Fairclough. Jurnal Komodifikasi. Vol. (7), hal 17-32
Nawi Ismail, Raminah Sabran, Wahida Abdul Wahid, Mohd Sis Mohd Yatim & ZulkarnainFarihin Abdullah (2016). Bahasa Melayu Topikal Penggal 3 Tingkatan 6.Kundang Jaya,Selangor. Pustaka Salam Sendirian Berhad.
Zaliniey Za’ba (2017). Analisis Teks Iklan Menggunakan Model Fairclough. Diperoleh daripada https://www.scribd.com/embeds/398194941/content?start_page=1&view_mode=scroll&access_key=key-fFexxf7r1bzEfWu3HKwf
No comments:
Post a Comment